Monday, March 22, 2010

Janji Prospek

Hari ni aku ada bertemujanji dengan seorang prospek. Bukan orang lain, kawan-kawan aku jugak. Aku dah kenal dia adalah lebih kurang 2 tahun. Kami sama-sama berkongsi hobi yang sama, iaitu kereta kawalan jauh, atau lebih dikenali sebagai RC. Kami bertemu buat kali pertama di salah sebuah pusat hobi RC yang agak terkenal di Shah Alam. Dan dari situ perkenalan bermula hinggalah ke hari ini. Dan hari ini, perjumpaan aku dengan beliau agak lain sikit dari topik RC. Kali ini aku nak cuba memperkenalkan dia dengan lebih lanjut tentang biz yang aku buat ni. Harapkan berjayalah sebab sebelum ni semua temujanji aku dengan dia semuanya dibatalkan pada saat-saat akhir. Tapi aku tak pernah give-up dengan dia sebab aku nampak dia berminat dengan apa yang aku cuba sampaikan padanya, dan cuba sedaya upaya untuk tidak menghampakan aku, tapi apakan daya, kita hanya merancang tapi segala-galanya ditentukan oleh Yang Kuasa.

Tempat pertemuan, seperti yang dijanjikan, berhampiran dengan rumah prospek. Aku tak kisah pun sebab bukannya jauh pun rumah prospek dengan rumah aku. Orang kampung kata sepelaung je. Tapi kena la jugak naik kereta sebab aku nak bawak bahan-bahan perbentangan dan media-media cetak untuk memudahkan lagi penerangan aku kepada dia dan yang paling penting, prospek lebih mudah memahami apa yang bakal aku sampaikan nanti. Dalam kereta, kepala aku dah ligat dah menyusun ayat dan karangan, untuk memantapkan lagi penerangan aku nanti. Aku nak buat dia rasa yang intonasi aku nanti betul-betul bernada bisnes, bukan bernada seperti biasa. Dressing aku pun aku ubah sket supaya nampak serious. Bisnes ni, walaupun aku jumpa dia secara tak formal, tapi aku rasa aku perlu tunjukkan kualiti yang ada pada diri aku sendiri supaya dia rasa yang aku ni bukan memain dalam buat bisnes.

Tetiba, telefon aku memainkan nada dering lagu Sai'ba, lagu yang memang anak aku set untuk telefon aku. Nama tertera, nama prospek. Dalam hati aku dah terdetik, "macam tak jadik jumpa je malam ni..". Ya betul, tanggapan aku betul belaka. Temujanji terpaksa ditunda sebab ada hal-hal yang tak dapat dielakkan dari pihak suspek. Aku cakap takpelah, nak buat camner, dah ada hal. Tapi kali ni prospek bersungguh-sungguh menyatakan bahawa hari Sabtu ni, dia boleh confirm dapat jupe aku. Aku pun rasa lega la sebab kali ni prospek pulak yang setkan temujanji. Selalunya aku la yang setkan, dan selalunya, termasuk yang kali ni, semuanya tak jadi. Aku hanya dapat berharap yang temujanji akan datang akan terlaksana dan paling besar harapan aku ialah prospek dapat bersama-sama dengan aku menjalankan bisnes yang aku ceburi ini.

Tak pasal-pasal aku lepak kat restoran makanana segera 24 jam menulis apa yang aku tulis sekarang ni. Nasib la baik teknologi sekarang dah maju, ada Wi-Fi free, pakai la selama mana pun, tak payah aku nak balik rumah baru nak update blog sebab kalau dah balik rumah memang aku lupa apa aku nak tulis nanti. Sambil itu aku terdetik, selama ni memang inilah yang selau terjadi kat aku bila aku bertemujanji dengan seseorang propek. Memang temujanji yang pertama takkan berjaya. Nasib aku memang baik kalau dapat jumpa pada temujanji yang kedua. Selalunya perjumpaan dengan prospek akan berjaya pada kali ketiga bertemujanji. Tapi takpe la, asalkan diorang sudi nak jumpa dan dengar apa yang aku cuba sampaikan kepada mereka.

Sunday, March 21, 2010

Langkah Pertama

Langkah pertama, bagi aku sangat penting untuk memulakan langkah pertama dalam sesuatu kembara. Semua orang tau yang langkah pertama adalah langkah yang paling penting dalam kehidupan manusia sejak dari awal lagi. Terpulanglah pada setiap individu untuk menentukan langkah pertama mereka dalam mengejar sesuatu yang mereka impikan dan idamkan. Bagi aku, inilah langkah pertama aku, dengan mencoretkan sesuatu diatas kertas maya ini. Tujuannya? teruskanlah membaca.

Blog ni khas aku buat untuk mencoretkan liku-liku dan cabaran, kapayahan dan kejayaan aku dalam mengharungi dunia perniagaan Multi Level Marketing, atau dalam bahasa melayunya Pemasaran Rangkaian. Ya, aku buat bisnes MLM, dan aku harus pastikan aku mesti berjaya dalam bidang ini, memandangkan tiada bidang sebelum ni yang aku betul-betul aku berjaya dan boleh aku berbangga dengannya. Aku tau ramai diluar sana yang tak suka, benci, meluat mahupun menyampah dan menyumpah bila dengar MLM. Tapi aku yakin diluar sana masih ramai yang suka, cinta dan sayang dengan bisnes cara MLM. Itu adalah tugas aku untuk mencari mereka yang cinta dengan MLM, dan aku tau memang bermacam dugaan akan aku tempuhi dalam mengharungi dunia perniagaan MLM ini.

Blog ini juga aku buat khas untuk menyedarkan aku tentang kesilapan ataupun beberapa perkara yang perlu aku elakkan dalam perniagaan MLM ini. Aku tau yang manusia memang tidak akan lari dari kesilapan tapi manusia yang berkualiti takkan berkali-kali melakukan kesilapan yang sama. Aku harapkan blog ini menjadi jurnal kepadaku dalam menilai tindakan aku yang seterusnya. Aku yakin suatu hari nanti aku akan berjaya menjadi seperti apa yang aku impikan kerana sesuatu realiti bermula dengan impian! Cuma jangan terlalu bermimpi hingga tak jejak bumi.